LABUAN – Sejumlah 447 mangsa kebakaran daripada 82 keluarga di Kg Gersik Saguking berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memohon bantuan.
Pegawai kebajikan JKM Jamil Jimon berkata kesemua mangsa ditempatkan di tempat perlindungan sementara di Dewan Arena Kg Bukit Kuda dan dibekalkan keperluan asas.
“Makanan, air, pakaian, tilam dan selimut disalurkan kepada mangsa bagi memenuhi keperluan mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
[Lebih 1,800 Orang Di Labuan Tinggal Sehelai Sepinggang]
Sementara itu ketua kampung, Hussein Salleh berkata agensi lain yang menyalurkan bantuan termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Khidmat Masyarakat Pejabat Parlimen Labuan.
Pegawai Perhubungan Awam Kanan Labuan Corporation Jahmurniwati Markum berkata mesyuarat jawatankuasa bencana alam akan diadakan esok untuk membincangkan bantuan yang perlu disediakan kepada mangsa.
Dalam kebakaran pada petang Rabu itu, dua orang mengalami kecederaan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Nukleus Labuan. – BERNAMA
https://youtu.be/EztjXmovbIs