NAMA Yana yang difahamkan merupakan salah seorang ahli kelab Familia Myvi Club (FMC) tiba-tiba menjadi hangat gara-gara tindakan defensifnya mempertahan rakan-rakan kelab yang berkemungkinan besar menjadi punca kepada kematian tiga beranak dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), awal pagi Sabtu lalu.
Kejadian itu menyebabkan Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan anak bongsunya, Nur Firuza Annisa, tujuh bulan maut apabila kenderaan Pajero mereka dirempuh dua kereta Myvi yang dipercayai sedang berlumba di lebuhraya berkenaan.
Sebelum ini tersebar perbualan Yana yang dipetik menerusi aplikasi Whats App yang mana individu itu menulis, “diorang bukan berlumba. Alhamdulillah budak FMC selamat. Tolong jangan percaya pada viral-viral yang tersebar. Mereka hanya jalankan tugas sedangkan tak tahu perkara sebenar.”
Yang lebih membuakkan rasa amarah pengguna laman sosial ialah apabila Yana dengan megah berkata dia mengenali ‘orang dalam’, kononnya dapat membantu ahli kelab tersebut andainya mereka menghadapi masalah.
Sehubungan kenyataan itu, adik bongsu Allahyarham Fairuz , Faizznur Asyraf Husain, 25, ‘menjemput’ Yana dan enam pemandu Myvi yang dipercayai berlumba itu datang menjenguk anak-anak saudaranya yang kini bergelar yatim piatu.
“Saya dimaklumkan pemandu itu semua telah diambil keterangan jadi saya tak berhak untuk memanggil ke apa.
“Kalau dia rasa ada inisiatif berjumpa jenguk sendiri anak-anak ini ditinggalkan oleh mak dan bapa untuk selamanya silakan.
“Silakan, saya tidak akan melarang, saya tidak akan marah, saya hanya minta satu datang jenguk dan lihat keluarga saya dan anak-anak arwah, itu dah memadai.
“Bukan saya minta bantuan, pampasan dari mereka, pampasan itu semua biar undang-undang yang tentukan,” katanya ketika ditemui Mynewshub di kediaman ibunya di Taman Batu Muda, Batu Caves hari ini.
Di bawah ini merupakan pesanan terus Faizznur kepada saudari Yana yang mana beliau meminta wanita itu untuk berjumpa dengan ahli keluarganya ataupun secara peribadi bertemu dengannya bagi menjelaskan perkara sebenar yang terjadi.
“Saya mohon kepada saudari Yana yang tengah hangat dengan cerita dia sekarang.
“Jika benar anda tidak bersalah, anda tampil berhadapan dengan keluarga saya ataupun secara peribadi dengan saya. Tampil, jelaskan benar ataupun tidak kemudian lawatilah anak-anak arwah ini.
“Saya difahamkan dia back up (pertahankan) kawan dia dengan kata-kata yang telah membangkitkan kemarahan satu Malaysia.
“Rakyat satu Malaysia telah sakit hati dengan kata-kata dia seolah-olah dia tidak mempunyai hati dan perasaan, dia back up orang secara membuta tulis,” katanya.
Beliau berkata, Yana boleh datang bersemuka denganya pada bila-bila masa di mana sahaja.
Faizznur memberikan jaminan, pertemuan itu bukan untuk membalas dendam atau sebagainya tetapi hanya untuk membolehkan Yana dan para pemandu haram bertemu dan melihat sendiri apa yang telah mereka lakukan.
Selepas ini Faizznur yang dipanggil Papa Cu oleh kedua-dua anak arwah abangnya, Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4, akan menggalas tugas sebagai penjaga kepada dua beradik tersebut. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=JuD5nWQjeCA&feature=youtu.be
Oleh:  JULIANA JOHAR
Foto:  HAZIQ EHSAN