JERANTUT – Seorang lelaki dibunuh kejam apabila lehernya dikelar dengan sabit di ladang kelapa sawit Felda Padang Piol, Sabtu lalu.
Ketua Polis Jerantut, Supritendan Azid Ismail, berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa, Mohd Shahrizal Roselan, 23, yang masih berpakaian baju T berwarna biru dan berseluar jeans dijumpai mati dalam keadaan mengerikan dan terdapat beberapa kesan kelar di lehernya.
Menurutnya, mangsa yang beralamat di Jalan Kelah, Felda Sungai Retang ditemui polis dalam keadaan terlentang di atas tanah setelah menerima maklumat orang ramai.
“Siasatan awal polis mendapati suspek datang ke ladang sawit berkenaan untuk menemui mangsa bagi bertanyakan sesuatu hal.
“Namun, secara tiba-tiba suspek terus mengeluarkan sabit lalu mengelar leher mangsa beberapa kali sebelum mayatnya ditemui kelmarin,†katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, suspek berusia 34 tahun yang beralamat di Felda Padang Piol, ditahan untuk membantu siasatan selepas dia mengugut abangnya dengan sabit berkenaan.
“Ketika mengugut abangnya, suspek memberitahu telah mengelar seseorang dengan sabit berkenaan.
“Berikutan pengakuan itu, usaha mencari mangsa (Mohd Shahrizal) dilancarkan penduduk pada Sabtu lalu dan menemui mayatnya kira-kira jam 9.20 pagi, kelmarin di ladang sawit berkenaan.
Azid berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak polis juga telah merampas sabit yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. – Sinar Harian Online