KUALA LUMPUR – Seorang mekanik dipenjara empat tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan kad debit akaun simpanan seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 .
Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu terhadap Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed, 34, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu berkuatkuasa hari ini.
Basheer menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu menggunakan kad debit akaun simpanan Tian Jun Wei untuk mengeluarkan wang berjumlah RM7,650 dalam tiga transaksi berasingan.
Dia dituduh melakukan semua perbuatan itu di ATM HSBC Amanah Ampang Point, Ampang di sini, antara jam 10.02 pagi, 15 Mei dan 11.28 malam, 29 Jun tahun lalu.
Sementara itu hukuman untuk isterinya yang juga pegawai bank HSBC, Nur Shila Kanan, 34, ditangguhkan sementara pihak mahkamah mengesahkan kesahihan sijil cuti sakit wanita itu dengan pihak hospital.
– Berita Harian Online
https://youtu.be/_w_ms5jNfA0