KUALA LUMPUR – Persatuan Bantuan Perubatan (MERCY) Malaysia mendirikan sebuah hospital medan sebaik sahaja kumpulan pertama misi bantuan mengandungi tujuh anggota tiba di Nepal pada Selasa lepas.
MERCY Malaysia berkata Unit Respon Kecemasan (ERU) persatuan itu dapat merawat 280 pesakit sejak menjalankan operasi sehingga semalam.
Hospital medan itu, yang dikendalikan doktor dan jururawat sukarela MERCY di premis Sekolah Menengah Tinggi Shree Bhagwati, menyediakan perkhidmatan perubatan untuk tempoh tiga minggu akan datang dan menawarkan khidmat konsultasi percuma dan bantuan perubatan.
“Hospital itu dijangka menyediakan perkhidmatan kepada penduduk yang terjejas akibat gempa bumi dengan menyasarkan 10,000 penduduk di Sankhu dan 2,500 penduduk di kawasan-kawasan berhampiran.
“Ia didirikan dengan bantuan sukarelawan tempatan serta doktor sukarela dari Kathmandu,” kata MERCY Malaysia dalam kenyataan di sini.
Kumpulan kedua mengandungi 11 anggota digerakkan Rabu lepas manakala misi ketiga juga mengandungi 11 anggota, akan dihantar untuk memperluaskan lagi operasi bantuan.
Nepal dilanda gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegarkan Pokhara, sebuah bandar dekat Kathmandu, pada 2.56 petang (waktu Malaysia) Sabtu lepas dan diikuti beberapa gempa susulan.
Gempa bumi itu, yang disifatkan sebagai yang paling buruk dalam sejarah Nepal dalam tempoh 81 tahun, telah mengorbankan lebih 5,000 mangsa sementara 8,000 orang lagi dilaporkan cedera.
Pakar perubatan amat diperlukan segera memandangkan sebilangan besar mangsa memerlukan rawatan perubatan lanjutan.
Dengan musim hujan memperlahankan operasi bantuan, musim monsun akan datang juga dijangka membantutkan lagi usaha memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif MERCY Ahmad Faezal Mohamed berkata Nepal memerlukan sejumlah besar bantuan kemanusiaan berikutan bencana itu.
“Kami telah menggerakkan dua pasukan mulai sekarang dan berharap untuk menghantar pasukan fizikal tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan itu.
MERCY juga bekerjasama dengan National Society for Earthquake Technology-Nepal, kedua-duanya anggota pengasas Rangkaian Pengurangan Risiko Bencana Asia, dalam aktiviti mengurangkan risiko bencana dan latihan membangunkan kapasiti. – BERNAMA
https://youtu.be/6F-Y4jIKxxQ