MUNICH – Bintang Barcelona, Lionel Messi, adalah pemain bola sepak terhebat dunia, kata jurulatih Bayern Munich, Pep Guardiola selepas gergasi Sepanyol itu menyingkirkan kelabnya 5-3 secara agregat untuk mara ke final Liga Juara-Juara Eropah.
Bayern menang pertembungan kedua di Munich, awal pagi tadi dengan keputusan 3-2, namun tidak cukup membawa juara Jerman itu ke pentas final, bulan depan. “Dia (Messi) adalah pemain terbaik dunia sepanjang zaman.
Saya membandingkannya dengan Pele.
Saya amat gembira menyaksikan perlawanan ini,” kata Guardiola. Messi mengharungi musim menakjubkan dan sudah meledak 10 gol dalam kempen elit Eropah itu, termasuk ketika membenam Bayern 3-0 pada perlawanan pertama, dua minggu lalu.
Penyerang sensasi Argentina itu sekali lagi menampilkan persembahan terbaiknya ketika membantu Barca mara ke final Liga Juara-Juara Eropah buat kali kelapan. “Dia sudah kembali. Dia berada di sana ketika saya melatih mereka,” kata Guardiola yang sebelum ini dua kali membantu Barcelona menjuarai Liga Juara-Juara Eropah ketika melatih kelab itu pada musim 2008 hingga 2012.
Kali terakhir Messi mengharungi saingan final di bawah Guardiola ialah pada tahun 2011, yang menyaksikan Barca memenangi gelaran utama Eropah itu buat kali keempat selain meledak rekod 40 gol dalam saingan La Liga serta membantu gergasi Catalan itu menjuarai tiga piala utama semusim.
Begitupun, peranan Messi pada perlawanan awal pagi tadi lebih tertumpu kepada ‘pembunuh’ berbanding perancang dengan kehadiran Neymar dan Luis Suarez, yang menjana hantaran tepat kepadanya.
“Apabila Barca memperoleh bola, mereka amat kuat. Saya berharap di Berlin nanti, mereka mampu menjuarai trofi kelima Piala Eropah.
Kami sudah mencuba segala-galanya. Namun, kami berdepan banyak masalah (kecederaan) dan apabila kamu bermain dengan begitu banyak masalah dalam tempoh dua bulan dan pemain sering melakukan serangan, pasukan ini layak untuk mendapat pujian,” kata Guardiola yang juga bekas pemain Barcelona.
Bayern yang sudah dua musim dibimbing Guardiola tempang tanpa beberapa pemain utama seperti dua tonggak sayap, Arjen Robben dan Franck Ribery selain pertahanan David Alaba dan Holger Badstuber.
Sekalipun ketinggalan 1-2 pada babak pertama, Bayern masih mampu bangkit untuk mengelak kekalahan di laman pertama di laman sendiri dalam kempen Eropah. – Reuters
https://youtu.be/XQ1c-DdYAlo