KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM900 dan RM800 kepada RM1,200.
Setiausaha Agungnya, N.Gopal Kishnam berkata, kenaikan gaji minimum itu perlu diambil kira berkuat kuasa dari 1 Januari lalu tanpa mengira pekerja tempatan atau asing.
“Majikan juga perlu mengambil kira pembayaran gaji minimum RM1,200 itu daripada awal tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Gopal Kishnam berkata, MTUC membuat permintaan itu memandangkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara menetapkan perintah gaji minimum perlu dikaji dua tahun sekali.
Katanya, akta itu turut menjelaskan kadar gaji minimum boleh juga dikaji semula dengan lebih cepat berdasarkan realiti sosio ekonomi semasa.
“Kadar gaji minimum bagaimanapun belum dinaikkan walau kos sara hidup meningkat berikutan pemansuhan subsidi dan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST),” dakwanya. – Mynewshub.cc