SEORANG murid perempuan tahun dua dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam disahkan dijangkiti virus Influenza A H1N1 selepas pulang dari luar negara.
Menurut Pengarah Kesihatan Selangor Dr S. Balachandran, murid tersebut kini sedang dirawat di hospital swasta dan kes tersebut disifatkan tidak serius.
“Murid terbabit disahkan terkena jangkitan H1N1 namun kini kita sudah mengambil langkah berjaga-jaga dengan beberapa kaedah rawatan yang diperlukan bagi mengatasinya.
“Sekolah tersebut juga telah diberikan langkah-langkah penjagaan kesihatan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah,” katanya.
Sementara itu, ujian saringan yang dijalankan ke atas rakan sekelas murid berkenaan mengesahkan mereka bebas daripada sebarang simptom virus berkenaan.
Bagaimanapun, adik mangsa yang berusia tiga tahun disahkan dijangkiti virus itu manakala empat lagi ahli keluarga murid tersebut bebas jangkitan.
Murid perempuan itu dilaporkan mengalami demam, batuk dan kesejukan sebelum disahkan dijangkiti virus berkenaan.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: FARAH
Sumber: mStar Online