JAKARTA – Ketika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia memantau ketat kemasukan beras tiruan dari China, rupa-rupanya produk itu sudah pun berleluasa di pasaran Indonesia.
Lebih dahsyat, beras palsu yang diimport secara penyeludupan haram dari China itu telah dikesan di Jawa, pulau paling padat penduduk di dunia sekali gus kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Akhbar-akhbar Indonesia melaporkan, beras palsu itu diperbuat hasil daripada gabungan kentang, ubi keledek dan limbah plastik atau resin yang direka bentuk sehingga mengelirukan mata kerana menyerupai rupa beras sebenar.
Bukan itu sahaja, prosedur pembuatan beras tiruan juga menambahkan resin sintetik dari industri pembuatan yang dikatakan sangat merbahaya kepada kesihatan tubuh badan jika dimakan kerana boleh menyebabkan barah.
Dewi Septiani, penduduk Bekasi, wilayah Jawa Barat antara yang berjaya menemui keanehan pada beras yang dibelinya di kedai dan mengesyaki beras tersebut adalah palsu atau disebut sebagai beras sintetis di Indonesia.
Kesangsian itu timbul ketika dia mengolah beras itu yang dibeli pada harga 8,000 rupiah (RM2.20) sekilogram untuk menjadi bubur sarapan pagi namun setelah didiamkan beberapa jam, bubur tersebut berbentuk aneh.
“Berasnya pelik, rasa juga tidak seperti nasi biasa. Lebih terasa seperti plastik, biasanya bubur jika sudah dingin bentuknya mengental dan menyatu, tapi ini aneh,” kata Dewi ketika ditemui wartawan tempatan awal minggu ini.
Selain bubur, Dewi cuba menggunakan beras itu untuk dijadikan nasi uduk, namun keanehan itu kembali. “Saat dimasak beras itu mengeluarkan banyak air, walhal beras asli biasanya meresap air sehingga kering,” jelasnya.
Kementerian Perdagangan Indonesia dalam pada itu menegaskan, pemerintah tidak pernah membenarkan pengimportan beras tiruan dari China dan jika ada, ia kemungkinan diseludup pihak tidak bertanggungjawab.
Baca: Air Zamzam Palsu Sudah Lama Berleluasa Di Jakarta
Beras palsu yang dijual pada harga murah ini dilaporkan telah lama memasuki negara-negara yang memiliki kepadatan tinggi penduduk di luar bandar seperti India, Indonesia, Vietnam malah akhir-akhir ini, Singapura.
Bimbang dengan situasi itu, Kementerian Perdagangan dengan kerjasama polis melakukan serbuan dan rampasan beras palsu di beberapa buah premis perniagaan hasil maklumat aduan ramai pengguna. – Agensi/H.A.AMREE