KUALA LUMPUR – Pertubuhan propembangkang, Bersih 2.0 membantah cadangan supaya individu yang ingin menjadi wakil rakyat perlu mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bersih 2.0 dalam satu kenyataan mendakwa, cadangan itu jika dilaksanakan akan memalukan sistem sistem demokrasi serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara yang tidak mendiskriminasi rakyat berdasarkan bangsa dan agama.
“Mempunyai seorang yang mahir berbahasa Melayu tidak menjamin beliau akan menjadi wakil rakyat yang baik, malah ia akan menafikan hak orang ramai untuk menjadi wakil rakyat,” dakwa kenyataan itu hari ini.
Dakwa kenyataan itu, cadangan tersebut akan turut mengekang individu daripada kawasan terpencil menjadi calon wakil rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini memaklumkan akan meneliti cadangan bagi mensyaratkan individu yang ingin menjadi wakil rakyat perlu mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM.
Ia berikutan cadangan Ahli Akademik, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah yang mahu SPR mensyaratkan mereka yang mahu menjadi wakil rakyat bagi peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, perlu sekurang-kurangnya mendapat kepujian Bahasa Melayu dalam SPM.
Mohd. Ridhuan Tee turut mencadangkan agar wakil rakyat ditemuduga mengenai penguasaan Bahasa Melayu dan sejarah kenegaraan sebelum dibenarkan bertanding.
Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dilapor menyokong cadangan itu kerana setiap pemimpin di negara ini perlu mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik. – mynewshub.cc