PEMAIN nombor satu dunia dari Malaysia Datuk Nicol Ann David mara ke separuh akhir pada Kejohanan Terbuka British 2015 selepas menewaskan pemain tuan rumah, Sarah-Jane Perry di Airco Arena Hull, England pada Jumaat.
Nicol, pilihan utama kejohanan mengambil masa 46 minit untuk memenangi perlawanan suku akhir berkenaan dengan straight set 11-6, 11-8 dan 12-10.
“Saya rasa saya telah bermain dengan baik hari ini. Saya bertindak dengan penuh tenaga dan tepat. Sarah-Jane adalah seorang lawan yang sukar..gembira untuk mencatat kemenangan straight set.
“Pada set ketiga, saya tidak mahu mengalah dan saya benar-benar mahu mara ke separuh akhir. Jadi saya terus berjuang sepanjang perlawanan,” kata Nicol sebagaimana dipetik dalam laman web rasmi kejohanan http://allambritishopensquash.com.
Terdahulu, dalam kejohanan sama, pemain nombor tiga Malaysia, Delia membuat sekali lagi kejutan apabila menyingkirkan pemain pilihan kedua Raneem El Weleily dari Mesir dengan 4-11, 16-14, 10-12, 11-6 dan 12-10 dalam masa satu jam sembilan minit untuk mara ke separuh akhir.
Kemenangan Nicol dan Delia itu, buat pertama kalinya meletakkan dua pemain Malaysia berjaya mara ke separuh akhir Terbuka British.
“Mengagumkan dengan kemampuan Delia minggu ini. Anda tidak akan percaya bahawa sebuah negara kecil seperti Malaysia, mempunyai dua pemain berjaya mara ke separuh akhir Terbuka British.
“Beliau telah berjaya dan saya akan melihat apa yang beliau lakukan esok (Sabtu),” kata Nicol.
Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun itu akan bertemu seorang lagi pemain tuan rumah yang juga pilihan ketiga kejohanan Laura Massaro yang menewaskan Joelle King dari New Zealand 11-6, 11-2 dan 11-7.
“Saya tidak sabar untuk berada di gelangang untuk berdepan dengan Laura. Ia harus menjadi pertempuran yang segit dan saya berharap orang ramai terhibur,” katanya.
Bagi perlawanan separuh akhir, Delia dijadual menentang Camille Serme dari Perancis pada 1 tengah hari waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) manakala Nicol akan menghadapi Laura pada 2.00 petang (9 malam waktu Malaysia) hari ini. – BERNAMA