KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berjaya meraih pingat gangsa acara 10m platform wanita pada Kejohanan Terjun Siri Dunia 2015 di Windsor, Kanada.
Menurut laman web www.fina.org, Pandelela bermula dengan terjunan baik
apabila memungut 371.25 mata keseluruhan bagi mengesahkan pingat tersebut, pagi tadi.
Beliau juga mempamerkan aksi terjunan yang konsisten dengan mencatatkan
76.50 pada terjunan pertama dan mengekalkan momentum apabila membuat 73.95 mata pada terjunan kedua, 76.80 mata (ketiga) dan 72.00 mata pada terjunan keempat dan kelima.
Pingat emas acara itu diungguli penerjun dari China, Ren Qian selepas
mengumpul 429.35 mata manakala rakan senegara, Si Jayie meraih pingat perak
dengan perbezaan 51.45 mata.
Pada kejohanan Siri Dunia di Windsor ini turut menyaksikan aksi hambar
penerjun, Cheong Jun Hoong dalam acara 3m papan anjal wanita dan Jun Hoong
berpasangan dengan Lee Mun Yee dalam acara 10m platform seirama wanita
berakhir pada kedudukan tercorot. – BERNAMA