Jakarta – Seorang wanita warga Indonesia selamat tiba di tanah air, kelmarin apabila dia terlepas hukuman mati di Jeddah, Arab Saudi.
Lilik Masoud sebelum ini berdepan hukuman rejam hingga mati selepas didakwa berzina dan membunuh seorang rakan senegaranya.
Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan berkata, Lilik dihantar kembali kepada keluarganya di Banyuwangi, Jawa Timur.
“Lilik ditangkap pada 2008 di Jeddah kerana dituduh berzina dengan seorang lelaki warga Bangladesh dan bersubahat membunuh rakan senegaranya yang dikenali sebagai Aisyah,†kata kenyataan itu.
Kerajaan memberi bantuan kepada Lilik melalui Konsulat Besar Indonesia di Jeddah termasuk menyediakan seorang peguam.
“Peguam berjaya membuktikan Lilik tidak terbabit dalam pembunuhan Aisyah.
“Peguam juga membuktikan Lilik sudah berkahwin dengan lelaki Bangladesh berkenaan, sekali gus terlepas tuduhan zina,†jelasnya.
Perbicaraan itu berakhir pada Oktober tahun lalu dan mahkamah membebaskan Lilik daripada hukuman mati.
Bagaimanapun, Lilik tetap dihukum penjara dan 500 kali sebatan atas kesalahan berkahwin siri.
Selepas hukuman selesai, kerajaan segera memulakan proses penghantaran pulang wanita itu.
Sepanjang tahun ini kerajaan berjaya menyelamatkan seramai 22 wanita Indonesia yang berdepan hukuman mati di seluruh dunia. – Agensi/myMetro Online