PENAMPANG – Persefahaman, penglibatan dan komitmen semua suku kaum dan etnik dalam menjayakan Pesta Kaamatan bukan sahaja mengeratkan lagi perpaduan bahkan dapat lebih memahami warisan dan khazanah sesuatu kaum, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata walaupun perayaan itu disambut secara tradisi oleh masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut namun masyarakat kaum lain turut serta meraikannya, sekaligus memperlihatkan keharmonian antara kaum di negeri ini.
“Inilah bukti kejayaan kita bersama dan contoh terbaik masyarakat majmuk di Sabah yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
“Selain itu, usaha-usaha tersebut juga baik untuk pelancongan. Pelancong boleh melihat semangat kekitaan antara kita biarpun berlainan budaya dan agama,” katanya pada majlis penutupan perayaan Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai peringkat negeri di sini hari ini.
Majlis penutupan itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Dalam pada itu, Musa berkata kerajaan Sabah tidak akan berfikir dua kali dalam mempertimbangkan permintaan mana-mana pihak untuk menyatupadukan rakyat.
Beliau berkata permintaan sedemikian dilihat baik untuk mengukuhkan perpaduan khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.
“Saya tidak segan-segan untuk mempertimbangkannya kerana permintaan sedemikian ke arah mengukuhkan perpaduan dan mengeratkan kemesraan antara kita,” katanya.
Berhubung dakwaan kebanyakan masyarakat menyertai perayaan Pesta Kaamatan semata-mata untuk melihat pertandingan Unduk Ngadau (ratu cantik pesta menuai), Musa berkata pertandingan itu merupakan satu kebudayaan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut yang patut dibanggakan kerana memperingati Puteri Huminodun, puteri lagenda masyarakat itu yang mengorbankan dirinya agar rakyat dilimpahi nikmat padi untuk kelangsungan hidup.
“Apa salahnya kita mahu melihat ‘sumandak-sumandak’ (gadis-gadis) kita yang bukan sahaja cantik tetapi berbakat dan berpelajaran seperti yang kita mahukan pada semua gadis kita,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=_rqtD0XMf0w