KOTA BHARU – Jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah mahu anak buahnya bangkit mencatat kemenangan ke atas Pahang pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, 16 Mei ini.
Beliau berkata kekalahan 0-1 kepada Pahang pada separuh akhir pertama semalam, perlu dilupakan sebaliknya pemain dituntut supaya fokus pada perlawanan kedua di gelanggang sendiri.
“Perjuangan untuk mara ke pentas final masih terbuka walaupun kita tewas kepada mereka (Pahang)…kita tidak boleh berputus asa.
“Apa yang penting, kita perlu kembali fokus dan saya yakin Kelantan pasti bangkit pada pertemuan kedua nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Azraai Khor berkata pemain The Red Warriors (TRW) menampilkan corak permainan yang baik pada babak kedua, namun nasib tidak menyebelahi mereka.
“Kita ada peluang menjaringkan gol tetapi nasib tidak menyebelahi kita. Saya telah kenal pasti kelemahan dan kita akan perbaikinya menjelang pertemuan kedua,” katanya.
Beliau berkata barisan pertahanan TRW perlu diberi pujian kerana mampu mengekang asakan terutama menerusi dua penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme dan Matias Conti.
“Amirizdwan Taj Tajuddin juga mempamerkan persembahan yang baik meskipun beraksi kali pertama dengan pasukan Kelantan,” katanya. – BERNAMA