MUADZAM SHAH – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mendengar suara golongan muda dalam isu perumahan generasi kedua FELDA di Rompin.
Beliau berkata Perdana Menteri memberikan maklum balas yang pantas dalam menyelesaikan masalah berkenaan sekali gus menunjukkan keprihatinannya terhadap kebajikan anak-anak peneroka.
“Saya akan terus memperjuangkan kepentingan generasi kedua FELDA untuk mendapatkan kemudahan asas dari segi perumahan dan peluang-peluang ekonomi setempat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik gerakan DUN Muadzam Shah di sini, hari ini.
Beliau berharap FELDA akan dapat membina rumah pada harga mampu dimiliki golongan generasi kedua FELDA yang mempunyai pendapatan tidak tetap.
“Kita harap FELDA pada masa akan datang dapat merancang perumahan yang sesuai dari segi reka bentuk dan kualiti serta pada harga bersesuaian dengan pendapatan golongan muda,” katanya.
Hasan berkata FELDA juga harus melihat kaedah lain seperti memanjangkan tempoh pinjaman perumahan serta bayaran sewa beli bagi meringankan beban kewangan generasi kedua FELDA.
Hasan semalam memohon Perdana Menteri mengurangkan harga rumah generasikedua FELDA di Parlimen Rompin kerana ia tidak mampu dimiliki oleh golongan berkenaan.
Kerajaan hari ini menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual-beli kepada generasi baharu FELDA di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang ditawarkan sebelum ini.
Perdana Menteri berkata bagi generasi baharu yang tidak berkeupayaan mendapatkan pembiayaan untuk pembelian rumah berkenaan, kerajaan akan menyediakan skim sewa dan beli di mana mereka dapat menduduki rumah itu selama lima tahun secara sewaan dengan kadar munasabah. – BERNAMA