SEREMBAN – Polis Seremban kini giat memburu seorang lelaki dipercayai suspek kes samun kedai emas di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata dalam kejadian pukul 1.55 tengah hari tadi, suspek yang menaiki motosikal telah menyamun sebuah kedai emas, mengakibatkan kerugian RM20,000.
“Sebaik sahaja menerima laporan, pihak polis terus ke tempat kejadian dan hasil siasatan awal didapati seorang lelaki, dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, telah masuk ke kedai tersebut dan dengan menggunakan kayu besbol sebagai senjata, memecahkan cermin rak pameran barang kemas yang ada di dalam kedai tersebut.
“Setelah berjaya memecahkan sedikit cermin rak pameran barang kemas itu, suspek melarikan 10 utas rantai tangan,” katanya kepada pemberita hari ini.
“Kami sudah melihat CCTV yang terdapat di kedai ini dan pihak polis juga telah mengadakan Ops Tutup dan Ops Kesan bagi mengesan suspek,” katanya. – BERNAMA