ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu melihat setiap pelajar di negeri ini sentiasa kelihatan kemas.
Menurut baginda budaya berpakaian kemas mencerminkan sikap seseorang dan kerana itu golongan pelajar wajar menjadikannya sebagai budaya mereka.
“Beta dapati terdapat pelajar tidak endah soal berpakaian termasuk tidak mengenakan aksesori yang ditetapkan oleh pengurusan sekolah seperti bersongkok, memakai lencana, tanda nama dan tali pinggang.
“Agak mengecewakan juga kerana ada pelajar menggayakan rambut di luar garis panduan. Budaya negatif ini harus disekat,” titah baginda semasa merasmikan ‘Titian Kasih Mega 2015’ Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Arau anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Jumaat.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah pelajar hendaklah dididik mematuhi etika kerana budaya kemas perlu disuburkan supaya mereka mengerti nilai-nilai positif yang membentuk seseorang menjadi bijaksana, cekap, pintar dan efisyen.
Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Mengenai pelajar sekolah agama Tuanku Syed Faizuddin bertitah, imej ‘bersih dan kemas’ yang dibawa mereka turut melambangkan sifat yang perlu dimiliki setiap pelajar.
Baginda menasihatkan mereka menyemarakkan budaya bersalaman sesama mereka di sekolah dan luar sekolah selain memberi salam dan mengungkapkan ucapan hormat kepada orang-orang dewasa yang menjadi budaya orang Timur.
“Amalan ini diharap akan mewujudkan rasa kasih sayang dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” tambah Tuanku Syed Faizuddin. – BERNAMA