ALOR SETAR – Rakyat diharap akan lebih memahami tentang kebaikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 21 Mei ini, kata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) itu berkata, Najib akan mengumumkan laporan tentang pelaksanaan GST pada pembentangan rancangan lima tahun itu.
“Saya percaya selepas pembentangan laporan perolehan GST nanti rakyat akan nampak kesan dan kebaikan GST. Mereka akan dapat balik apa yang mereka sumbang cukai GST enam peratus ketika ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Semarak Kejiranan anjuran Umno Bahagian Alor Setar di sini.
Menurutnya, perlaksanaan GST itu adalah tindakan yang baik untuk ekonomi negara dan berharap masyarakat akan lebih memahaminya menerusi bahan-bahan penerangan sedia ada.
Ahmad Bashah juga berkata, kementeriannya akan mendakwa lebih banyak syarikat yang menggunakan perlaksanaan GST untuk sengaja mengaut keuntungan secara berlebihan.
Tindakan tegas itu katanya, bakal diambil terhadap peniaga terbabit selepas pihaknya memiliki bukti-bukti kukuh tentang pelanggaran Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.
Katanya tindakan yang diambil itu bertujuan menyedarkan peniaga-peniaga supaya tidak menggunakan alasan GST untuk mengaut keuntungan berlebihan dengan menaikan harga barangan pada harga tidak munasabah.
“Kita juga hendak tunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan bertegas terhadap peniaga yang ambil kesempatan. Kita juga telah ambil tindakan dengan sita barang dan denda terhadap peniaga yang ingkar,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Bashah berkata orang ramai berhak untuk tidak membayar caj perkhidmatan sekiranya restoran dan hotel tidak mempamerkan notis mengenai caj itu dalam premis mereka.
Katanya orang ramai perlu melaporkan mengenai perkara itu untuk tindakan tegas dikenakan terhadap pemilik hotel dan restoran yang mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan mengenakan caj perkhidmatan dan GST.
“Mereka kena faham caj perkhidmatan 10 peratus itu diberi kepada pelayan restoran atau hotel yang mempunyai perjanjian dengan majikan mereka. Yang tak ada perjanjian itu hasil caj tersebut akan masuk dalam poket pengusaha dan ini adalah salah,” katanya. – BERNAMA