SUASANA hiba menyelubungi sebuah majlis graduasi apabila seorang ibu mewakili anaknya, Aaron Dunigan, 18, yang maut dalam satu nahas jalan raya semasa pulang dari majlis Prom beberapa hari sebelum itu.
Katherine Jackson mengenakan jubah serta mortar board (topi) dan duduk bersama pelajar lain sebelum naik ke pentas bagi mengambil diploma milik anaknya pada rabu lalu.
Semua orang mula sebak semasa Katherine naik ke atas pentas Thornton Fractional North High School di Chicago bagi mewakili anaknya yang sudah tiada.
“Anak saya tahu ibunya tidak pernah berjalan di atas pentas tapi saya akan menjadi kakinya dan dia menjadi sayap kepada saya.. dan kami akan naik bersama untuk mengambil diploma kami,” ucap Katherine dengan linangan air mata kesedihan.
https://www.youtube.com/watch?t=68&v=I8Cq59ENcFI
Aaron yang merupakan penumpang kenderaan dipandu rakannya, terkorban selepas kereta dinaiki itu bertembung dengan kenderaan lain.
Kehilangan Aaron sangat dirasai kerana dia merupakan pelajar aktif dan menjadi harapan dalam bidang sukan di sekolahnya.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: Pitt