KUALA LUMPUR – Gara-gara memiliki sebuah kereta curi milik jemaah masjid, seorang siak dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini.
Majistret Zulyana Zollkapli menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Saney Mohamad Fahmy, 30, setelah dia mengaku bersalah memiliki kereta jenis Perodua Alza milik Normah Abd Fatah, 60, yang juga merupakan kenalannya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mei lalu.
Mohamad Saney didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Perkasa 4, Taman Maluri, Cheras, di sini, pada 10.15 malam, 7 Mei lepas mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh meminta mangsa menghantarnya ke pejabat peguam bagi urusan insurans kenderaan dan semasa dalam perjalanan, mangsa singgah di surau di Hospital Ampang untuk menunaikan solat manakala tertuduh menunggunya di dalam kenderaan.
Bagaimanapun selepas wanita itu selesai menunaikan solat, dia mendapati keretanya telah hilang dan dua hari kemudian polis menjumpai tertuduh bersama kereta itu.
Terdahulu tertuduh yang diwakili peguam Fadlyzil Ikram Norzailan Shah memohon hukuman paling minimum dengan alasan anak guamnya yang merupakan anak yatim piatu dan tiada rekod kesalahan lampau itu, telah insaf dengan perbuatannya.
Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kesulitan mangsa yang kehilangan kenderaan selain memberi pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA