PASIR MAS – Pengerusi Yayasan Nurjiwa, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin berkata, walaupun bencana banjir yang melanda Kelantan berlaku lebih empat bulan lalu, namun bantuan susulan kepada mangsa masih diteruskan.
Terbaharu, Yayasan Nurjiwa dengan usaha sama Puncak Niaga Holdings Berhad dan Rejimen Pengendalian Air ke-60 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) tampil meringankan bebanan mangsa banjir di Kelantan.
Penyanyi wanita tersohor itu berkata, beliau terpanggil untuk menyalurkan lagi bantuan tersebut bagi membantu meringankan bebanan mereka yang terlibat dengan musibah terburuk berkenaan.
“Sumbangan ini kesinambungan OPS Murni yang dilancarkan pada 23 Disember dengan bantuan bekalan 20,000 botol minuman yang setiap satu mengandungi 5 liter air kepada mangsa di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bantuan kali ini adalah penyerahan fasa kedua sumbangan dalam bentuk keperluan asas seperti al-Quran, telekung dan sejadah,” kata beliau selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir Negeri Kelantan.
Acara berlangsung di Sekolah Menengah Ugama (SMU) A Tarbiah Diniah To’ Uban Pasir Mas pada Khamis turut melibatkan sumbangan sejumlah 1,146 naskhah al-Quran, 210 pasang telekung dan 210 helai sejadah.
Ia diagihkan kepada SMU (A) Tarbiah Diniah, SMU (A) Mardziah, SMU (A) Al Balaghul Mubin dan Pondok Haji Ali Kampung Pengkalan Machang. Turut hadir, penaung yayasan dan juga suami beliau, Datuk Khalid Mohd. Jiwa.
Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara berkata, sejumlah lebih RM100,000 berjaya dikumpulkan dalam usaha sama tersebut untuk diagihkan khusus kepada mangsa banjir di Kelantan.

“Sumbangan fasa pertama telah diagihkan kepada mangsa banjir di Dabong dan Kuala Krai sebelum ini manakala fasa kedua diteruskan hari ini (Khamis) ke beberapa lagi kawasan di Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Yayasan Nurjiwa turut bersetuju untuk menyumbang sejumlah RM10,000 bagi membiayai kos tambahan pembinaan sebuah surau di sekolah agama terbabit.
“Semoga apa yang kami sumbangkan hasil kerjasama ini, walaupun tidak banyak, dapat meringankan beban yang dialami mangsa banjir di negeri mini,” katanya. - BERNAMA
ÂÂ