TRONOH – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (Insarag) bagi membolehkannya memperluas khidmat ke luar negara.
Komander SMART Mohd Zahar Abdullah berkata untuk itu anggota SMART akan diuji dari segi fizikal, keupayaan pasukan, peralatan dan dokumentasi pada Februari tahun depan.
“Sama ada lulus atau tidak ujian itu bergantung kepada keputusan mereka. Apabila telah diiktiraf, SMART boleh pergi ke mana-mana negara untuk melakukan aktiviti menyelamat secara bersendiri tnpa memerlukan bantuan pihak lain,” katanya.
Beliau menghadiri majlis tamat latihan kursus Khas SMART yang dirasmikan Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Tronoh hari ini.
Kursus selama enam minggu bermula 22 Mac ini dihadiri 50 peserta termasuk dari jabatan bomba, angkatan tentera dan polis. – BERNAMA