SEORANG peguam di Kenya menawarkan 50 ekor lembu, 70 bebiri dan 30 kambing kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk mengahwini anaknya.
Felix Kiprono memberitahu sumber bahawa impiannya adalah untuk mengahwini anak perempuan Presiden itu, Malia, 16.
Felix dilaporkan sangat bersemangat mengenai hal ini dan sudah membuat persediaan untuk berbincang dengan Obama semasa lawatan beliau ke Kenya Julai nanti.
“Saya mula jatuh hati dengan Malia pada 2008. Sejak itu, saya tidak menjalinkan apa-apa hubungan sebagai tanda setia kepadanya.
“Saya sudah berbincang dengan keluarga dan mereka sanggup membantu untuk menaikkan tawaran berkahwin dengan anak Presiden itu,” katanya kepada akhbar The Nairobian.
Felix turut menjelaskan cintanya kepada Malia adalah sejati dan bukan nafsu semata selain kerana Malia mempunyai darah Kenya kerana Obama juga berasal dari Afrika.
Selain itu, dia menjelaskan tujuan berkahwin dengan Malia bukan untuk mengaut keuntungan atau mahukan harta.
“Saya sedang merangka surat untuk diberikan kepada Obama dan memohon agar beliau membawa Malia bersama semasa melawat Kenya pada Julai nanti. Saya berharap duta Amerika Syarikat akan berikan surat ini kepada Obama,” tambahnya.
Felix merancang jika Malia bersetuju untuk berkahwin dengannya, mereka akan menjalani kehidupan seperti biasa dan mengelakkan kehidupan mewah menggunakan harta anak Presiden itu.
– MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=ys7EOo3Glvw
Oleh: Pitt