KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan selepas dipilih antara tiga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia, untuk penggal 2015-2019.
Tengku Abdullah dan Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Eksekutif Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) Kohzo Tashima dipilih untuk mengisi jawatan itu semasa kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-26 yang diadakan di Manama, Bahrain pada Khamis.
Seorang lagi dipilih mengisi slot untuk Asia ialah Sheikh Ahmad Fahad Al Ahmad Al Sabah dari Kuwait yang sebelum ini pernah memegang jawatan sama pada 2013, telah dilantik semula sehingga 2017.
Tashima memperoleh undi tertinggi iaitu 36, diikuti Tengku Abdullah dengan 25 undi daripada 46 anggota AFC yang mengundi.
Untuk rekod, Tengku Abdullah merupakan rakyat Malaysia kedua yang dilantik sebagai ahli exco dalam badan pentadbir bola sepak dunia itu selepas Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah yang juga bekas Naib Presiden FIFA, selama lapan tahun dari 1982 sehingga 1990.
Semasa kongres itu, penyandang Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain mengekalkan jawatan itu selama empat tahun sehingga 2019 selepas menang tanpa bertanding.
Shaikh Salman yang juga anggota keluarga diraja Bahrain memegang jawatan itu sejak Mei 2013.
Mengenai pelantikan semula beliau, Shaikh Salman berkata, beliau berasa rendah diri dan berbesar hati setelah menang tanpa bertanding jawatan Presiden AFC dan Naib Presiden FIFA.
“Saya menyifatkan ia (kemenangan ini) sebagai tanda kepuasan anda terhadap kerja yang telah saya lakukan setakat ini dan kepercayaan untuk saya memimpin persekutuan unik ini,” katanya dipetik dalam laman web AFC: www.the-afc.com.
21 individu dari pelbagai negara Asia juga telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif AFC semasa kongres berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC bagi 2015-2019:
———————————————–
Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA (2013-2017):
Sheikh Ahmad Fahad Al Ahmad Al Sabah (Kuwait)
Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA (2015-2019):
Kohzo Tashima (Jepun)
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (MALAYSIA)
Presiden:
Shaikh Salman Ebrahim Al bin Khalifa (Bahrain)
Naib Presiden AFC:
Winston Lee Boon Aun (Singapura)
Zhang Jilong (China)
Ali Kafashian Naeini (Iran)
Saoud A. Aziz M A Al Mohannadi (Qatar)
Praful Manoharbhai Patel (India)
Anggota Jawatankuasa Eksekutif Wanita AFC:
Moya Dodd (Australia)
Han Un Gyong (Korea Selatan)
Zohra Mehri (Afghanistan)
Susan R. A. Shalabi (Palestin)
Mahfuza Akhter (Bangladesh)
Anggota Jawatankuasa Eksekutif AFC:
Mariano V. Araneta Jr. (Filipina)
Viphet Sihachakr (Laos)
Francisco Kalbuadi Lay (Timor Leste)
Richard King Lai (Guam)
Mong Gyu Chung (Korea Selatan)
Sardor Rakhmatullaev (Uzbekistan)
Mohamed Khalfan Matar Saeed Al Romaithi (UAE)
Ahmed Eid S. Al Harbi (Arab Saudi)
Hachem Sayed Ali Haidar (Lubnan)
Makhdoom Syed Faisal Saleh Hayat (Pakistan)
Mohamed Shaweed (Maldives)
– BERNAMA