KUALA TERENGGANU — Kerajaan negeri bersetuju untuk
menanggung kos bagi membawa pulang jenazah pelajar tajaan Yayasan
Terengganu yang meninggal dunia setelah terbabit dalam kebakaran asrama di Rusia
pada 22 April lalu.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata insurans Nor
Atikah Alias, 25, hanya meliputi kos perubatan hospital dan pengebumian di
Rusia.
“Kalau jenazah hendak dibawa pulang ke Malaysia, insuransnya tidak akan
tanggung,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat
mingguan sxco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Nor Artikah, pelajar perubatan tahun akhir Universiti Perubatan Kajian
Kebangsaan Rusia, Moscow meninggal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sklifosovskogo
kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia) berikutan
melecur 30 peratus pada muka, tangan dan kaki.
Ahmad Razif berkata jenazah dijangka tiba paling awal malam esok, namun
bergantung kepada urusan dokumen pihak kedutaan Malaysia di Rusia.
“Kos bagi membawa pulang jenazah ke Malaysia ialah RM10,000 dengan
penerbangan Emirates dari Moscow, transit di Dubai sebelum ke Kuala Lumpur.
“Sebaik jenazah tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),
kita akan menyambut dan menghantar jenazah bagi urusan pengkebumian di Kampung
Bukit, Jeram Linang, Pasir Putih, Kelantan tempat keluarganya tinggal sekarang,”
katanya.
Ibu bapa Nor Atikah kini turut berada di Moscow.
Nor Artikah adalah antara 24 pelajar Malaysia yang terbabit dalam kebakaran
itu.
Ahmad Razif berkata beliau akan mewajibkan pelajar dari Terengganu yang
menyambung pengajian ke luar negara supaya mengambil insurans.– BERNAMA