ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 14 warga asing dan seorang majikan warga tempatan dalam operasi yang dijalankan di Pokok Sena, Pendang dan Jitra semalam.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi bermula 1.15 pagi semalam, lapan lelaki dan enam wanita Kemboja berumur antara 20 hingga 45 tahun ditahan di rumah mereka di tiga lokasi berasingan.
Di Pokok Sena katanya, tiga lelaki dan tiga wanita warga Kemboja ditahan di Kampung Belukar Kedundong dan tiga lelaki serta dua wanita ditahan di Kampung Pancor manakala di Pendang dua lelaki serta seorang wanita ditahan.
Siasatan katanya, mendapati warga asing terbabit tinggal lebih masa di negara ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
“Seorang wanita yang ditahan di Pendang pula didapati tiada dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama,” kata Mohamad Yusri dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, dalam operasi di Taman Suria II, Jitra, seorang wanita Indonesia berumur 30 tahun yang bekerja di sebuah pasaraya mini ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan.
Dalam operasi pada 4.10 petang semalam itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun dipercayai pemilik premis dan majikan kepada wanita itu.
“Lelaki tempatan itu didapati melindungi warga asing itu dan akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan wanita itu disiasat mengikut Peraturan 39(b)Peraturan Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – BERNAMA