KUALA LUMPUR – Sebanyak 402,333 rumah di ibu negara dan Hulu Langat, Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air bersih bermula hari ini.
Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, gangguan bekalan air itu disebabkan kerosakan pada pam air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat pagi ini.
“Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (PNSB) memberitahu terpaksa mengurangkan pengeluaran air terawat ekoran berlaku kerosakan pada pam air mentah LRA tersebut yang dikesan pada jam 10 pagi hari ini.
“Untuk makluman, LRA Sungai Langat ini membekalkan 460 Juta Liter Sehari (JLH) air bersih kepada para pengguna. Kerosakan pada pam air mentah di LRA tersebut menyebabkan jumlah pengeluaran air terawat telah dikurangkan kepada 432 JLH.
“Justeru, Syabas ingin memaklumkan kepada para pengguna bahawa gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah telah dan bakal berlaku di 244 kawasan melibatkan 402,333 pintu rumah di wilayah Hulu Langat dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Priscilla berkata, PNSB selaku operator LRA Sungai Langat menjangkakan tempoh pembaikan pam tersebut pada 29 Jun 2015 dan loji itu akan dapat beroperasi semula seperti biasa pada 30 Jun 2015.
Sehubungan itu, katanya, Syabas akan menyediakan bantuan bekalan air kecemasan melalui lori-lori tangki kepada pengguna terlibat.
Bagaimanapun, katanya, keutamaan bantuan air kecemasan diberikan untuk kegunaan kecemasan seperti kematian dan majlis perkahwinan selain daripada hospital, pusat dailisis dan rumah-rumah kebajikan.
“Justeru, para pengguna dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemah,” katanya.
Katanya, pengguna boleh mengakses terus dengan mudah dan pantas maklumat terperinci berhubung dengan status bekalan air di kawasan masing-masing melalui aplikasi mySYABAS yang boleh dimuat turun ke telefon pintar menggunakan Google Playstore dan Appstore. – Mynewshub.cc