ALOR SETAR – Enam jenazah mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dipindahkan dari Wang Kelian, Perlis ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk tujuan bedah siasat dijangka akan dikebumikan Ahad di Kampung Tualang, Jabi, Pokok Sena.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tapak perkuburan telah pun disediakan di kampung itu, dan segala urusan akan dikendalikan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).
“Setelah dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, kerajaan negeri, dan Majlis Agama Islam Kedah, setakat ini yang telah disahkan akan dikebumikan di tempat yang sama secara berperingkat, berjumlah 106 jenazah Rohingya.
“Setakat ini, saya dimaklumkan enam jenazah pertama akan dikebumikan esok, tetapi mungkin lebih daripada itu, akan ada lagi (jenazah) dari semasa ke semasa (yang akan dikebumikan) setelah selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya kepada pemberita di sini Ahad.
Beliau pada masa yang sama melahirkan perasaan simpati dan sedih dengan aktiviti penyeludupan manusia yang berlaku kerana menurutnya mangsa terbabit telah dianiaya dengan zalim.
“Saya dimaklumkan ada jenazah sempurna dan tidak, kesemuanya 106, bedah siasat dibuat untuk kenal pasti punca, setakat yang kita dengar kebuluran atau sakit, ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita,” katanya. – BERNAMA