KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan akaun Twitter palsu atas nama beliau.
Katanya, akaun Twitter itu didapati menyebarkan pelbagai kenyataan palsu bagi membangkitkan kebencian kaum dan agama dengan menggunakan namanya.
“Saya dapati sejak sebulan lalu terdapat beberapa akaun Twitter palsu menyamar sebagai saya dan membuat kenyataan serta komen atas nama saya.
“Memandangkan akaun palsu itu menggunakan nama dan gambar saya menyebabkan pengguna media sosial jadi keliru,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelas Keng Liang, beliau telah membuat laporan polis pada 3 Jun lalu dan dimaklumkan sebanyak tujuh akaun Twitter palsu atas namanya telah disekat.
Namun, katanya, lebih banyak akaun palsu Twitter menggunakan nama beliau diwujudkan selepas itu bagi mencemarkan imejnya.
Justeru, beliau menyifatkan pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu sebagai pihak pengecut.
“Akaun Twitter rasmi saya adalah @tankengliang manakala akaun Facebook adalah www.facebook.com/tankengliang,” katanya. – mynewshhub.cc