SINGAPURA – Jika beliau akhirnya mendapat kontrak kelab Liga Jepun Matsumoto Yamaga, Izwan Mahbud akan menjadi pemain bola sepak Singapura yang pertama untuk ditampilkan dalam liga bola sepak profesional Jepun.
Namun penjaga gawang kebangsaan Singapura itu menyedari bahawa beliau juga boleh membuka jalan untuk lebih ramai pemain terbaik republik itu, menyusuri kerjaya mereka beraksi dalam liga teratas Asia; J.League.
Ia susulan laporan media tempatan pada Rabu bahawa Naib Presiden Matsumoto Yamaga, Yoshiyuki Kato mengundang pemain berusia 24 tahun tersebut untuk menjalani sesi uji bakat di negara matahari terbit itu.
“Jika saya pergi untuk sesi itu, saya pasti ramai orang akan berharap untuk lihat saya berjaya kerana mereka mahu ada pemain bola sepak Singapura bermain di liga teratas di luar negara,” kata Izwan kepada akhbar TODAY.
“Kami bangga lihat (rakan pasukan kebangsaan Singapura) Safuwan (Baharudin) main untuk Melbourne City dalam A-League (Australia), dan beliau beri kami inspirasi berjaya di luar negara seperti dirinya,” tambah Izwan.
Izwan mempamerkan prestasi hebat menyelamatkan 18 cubaan gol, sekali gus Singapura catat keputusan seri 0-0 ketika menentang juara Asia empat kali, Jepun dalam kelayakan Piala Dunia 2018 di Saitama pada 16 Jun.
Jepun secara meluas dianggap gergasi terbaik di Asia sejak dua dekad lalu malah antara pemainnya Keisuke Honda dan Shinji Kagawa, masing-masing bermain untuk kelab Eropah AC Milan dan Borussia Dortmund.
Prestasi Izwan pada malam perlawanan genting tersebut telah menarik minat Jepun terhadapnya dan arena bola sepak Singapura. Izwan malah mengakui tawaran Yamaga agak memeranjatkan dirinya sendiri.
“Saya melakukan sedikit carian online dan mendapat tahu lebih lanjut tentang kelab itu. Perjalanan mereka dari peringkat bawah ke dalam J-League sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah mengagumkan,” kata Izwan.
Berpangkalan di wilayah Nagano, Matsumoto Yamaga ‘naik pangkat’ ke J-League One iaitu divisyen peringkat atas pada tahun lalu, tetapi pada masa ini ia di tempat ke-15 daripada 18 pasukan dalam kedudukan liga.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang berusaha menawarkan sesi uji bakat bermain dalam Liga Jepun untuk pemain terbaik Singapura, belum mendengar secara rasmi daripada Matsumoto Yamaga mengenai isu tersebut.
Namun FAS dilaporkan mahu perbincangan lebih lanjut dibuat dengan kelab berkenaan dan pihak berkepentingan berkaitan persatuan itu, termasuk penaja utama, firma elektronik Epson, tentang perkara tersebut.
Fandi Ahmad pernah bermain untuk kelab Belanda FC Groningen (1983 hingga 1985) dan V Sundramoorthy untuk kelab Switzerland FC Basel (1987 hingga 1988). Mereka kekal sebagai eksport bola sepak terbaik Singapura.
Pemain lain yang pernah cuba termasuk Indra Sahdan, yang menjalani uji bakat dengan kelab Amerika Syarikat, Real Salt Lake pada 2007 serta Noh Alam Shah dengan Skonto Riga Latvia dan Notts County England pada 2005.
Manakala awal tahun ini, seorang pemain Singapura, Safuwan Baharudin sudah menerima kontrak tiga bulan dengan Melbourne City di Australia dan penjaga gawang, Hassan Sunny kini bermain untuk Army FC di Thailand.
Namun pengerusi kelab Liga Singapura Albirex Niigata, Daisuke Korenaga memberi amaran bahawa masalah perbezaan ketara dari segi isu budaya dan bahasa Jepun akan menjadi hambatan terbesar buat Izwan.
“Matsumoto Yamaga bukan kelab yang kaya. Mungkin gaji (Izwan) di Singa XII adalah lebih baik. Namun jika Izwan boleh cari kejayaan dalam Liga J, dia boleh mendapat peluang untuk bermain di Eropah,.” ujar beliau.
“Adalah lebih baik untuk cabar potensi dia, tetapi ia tidak mudah. Itulah sebab dia perlu main di Jepun untuk jadi lebih baik. Ia juga baik untuk pasukan kebangsaan Singapura dalam jangka masa panjang,” tambah Korenaga.
Namun komen itu dibidas Indra dan berkata: “Bahasa? Sila lihat pada Hassan di Thailand, dia memuaskan. Nasihat saya untuk Izwan adalah untuk terus berlatih dan gigih bermain secara konsisten. – Agensi/Mynewshub/HAA
– Rakaman aksi cemerlang Izwan Mahbud ketika Singapura menentang Jepun baru-baru ini: Ihsan Singapore Football Fans