KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat mempunyai ketumbuhan berukuran empat sentimeter (cm) pada bahagian buah pinggang.
Pemimpin PKR yang juga peguam Anwar, R.Sivarasa mendakwa, perkara itu dimaklumkan secara lisan oleh doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat Ketua Umum PKR tersebut awal bulan ini.
“Para doktor melaporkan secara lisan beliau memerlukan penilaian dan rawatan lebih lanjut termasuk berkaitan tekanan darah tidak menentu, ketumbuhan `4 cm’ di buah pinggang yang memerlukan CT scan, gastritis yang memerlukan diet tanpa gluten dan otot bahu yang koyak serta artritis kronik yang memerlukan fisioterapi intensif.
“Anwar juga telah kehilangan 6 kilogram sejak beliau dipenjarakan. Penjara tiada kemudahan untuk ujian atau rawatan bagi keadaan kesihatan Anwar sekarang,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sivarasa berkata, tahap kesihatan Anwar semakin teruk dan amat membimbangkan kerana beliau dinafikan akses kepada rawatan-rawatan yang diperlukan.
Justeru, beliau meminta supaya pihak penjara memindahkan segera Anwar ke tahanan kediaman supaya boleh menemui doktor sendiri untuk mendapatkan rawatan.
“Paling tidak pun, jika tahanan kediaman tidak dibenarkan, beliau perlu dihantar ke hospital untuk jangka masa yang secukupnya untuk memastikan rawatan sepenuhnya diberi kepada beliau,” dakwanya. - MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=tBTQ4DaoHRU