SIBU – Kehidupan dan pembelajaran sejumlah 27 murid Sekolah Kebangsaan Ulu Arip dekat Tatau mungkin terjejas apabila asrama yang mereka diami musnah dalam satu kebakaran pada lebih kurang 12.30 tengah hari ini.
Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat Tatau yang terletak 80km dari sekolah itu menerima panggilan kecemasan pada 12.42 tengah hari dan mengejarkan sebuah jentera dengan empat anggota ke sana.
Setibanya di sekolah itu pada 1.50 tengah hari, pihak bomba mendapati kebakaran itu berjaya dikawal oleh pihak sekolah.
Bangunan kayu berstruktur tidak kekal setingkat itu musnah 90 peratus.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kebakaran masih disiasat. – BERNAMA