MEKAH – Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat jadual penerbangan secara berperingkat kepada 22,320 bakal jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, mulai akhir Ramadan.
Pengurus Besar Kanan (Haji) Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, mereka yang menerima surat berkenaan boleh membuat persediaan secukupnya sama ada dari segi mental, fizikal, kerohanian dan ilmu.
“Penerbangan pertama berlepas dari Malaysia ke tanah suci ialah pada 16 Ogos dan seterusnya penerbangan yang akhir ialah pada 16 Sept. Kita dijangka menjalani Hari Wukuf pada 22 Sept dan seterusnya penerbangan pertama balik ke Malaysia ialah pada 29 Sept dan penerbangan terakhir pada 28 Okt,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.
Justeru, beliau menasihatkan bakal jemaah haji agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini dari TH.
Katanya, TH akan terus mengingatkan bakal haji melalui penghantaran ‘SMS blast’ dan panggilan telefon yang dibuat melalui ‘TH Contact Centre’ dan pejabat TH negeri. – BERNAMA