KUALA LUMPUR – Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berada di landasan untuk merangkul gelaran kejohanan Terbuka yang pertama selepas menjalani hukuman digantung lapan bulan kerana kesalahan doping.
Bekas pemain nombor satu dunia itu membuktikan masih belum hilang sentuhan disebalik lapan bulan tidak beraksi dengan menundukkan Rajiv Ouseph dari England pada perlawanan suku akhir Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat di Kolej Komuniti Suffolk County, Brentwood, Amerika Syarikat.
Pemain berusia 33 tahun itu mengambil masa 32 minit untuk mengalahkan pemain nombor 20 dunia itu 21-9 dan 21-14 dan akan bertemu B. Sai Praneeth dari India yang menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long Angus 21-8 dan 21-14.
Pemain pilihan utama dan nombor tujuh dunia Chou Tien Chen dari Taiwan yang memburu gelaran pertamanya pada musim ini, menundukkan Takuma Ueda dari Jepun 21-11 dan 21-19 untuk bertemu pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus pada satu lagi perlawanan separuh akhir.
Vittinghus menewaskan Kenta Nishimoto dari Jepun 21-10 dan 21-16. – BERNAMA
https://youtu.be/RE6PKA563i0