SANTIAGO – Bintang Chile, Alexis Sanchez berkata seorang pemain Uruguay sudah memohon maaf kepadanya sejurus pertembungan panas suku akhir Copa America, hari ini.
Uruguay yang juga penyandang juara menamatkan permainan dengan sembilan pemain di atas padang yang berakhir dengan kekalahan 1-0 di tangan tuan rumah.
Sanchez yang beraksi bersama Arsenal menjadi tumpuan perlawanan apabila menerima terjahan keras daripada pemain Uruguay, Jorge Fucile ketika minit-minit terakhir permainan.
Tindakan Fucile menyebabkannya dilayangkan kad kuning kedua dan diarahkan keluar padang, keputusan yang mencetus kekecohan di atas padang di antara pemain dan pegawai perlawanan. Sanchez kemudian memberitahu wartawan seorang pemain Uruguay yang namanya tidak didedahkan sudah meminta maaf kepadanya atas layanan kasar yang diterima sepanjang pertembungan itu.
“Mereka gemar untuk bertengkar, membantah dan bermain berhabis-habisan dan seorang pemain memberitahu saya pada separuh masa pertama, ‘ketepi kamu pengecut’, namun selepas itu dia berkata kepada saya: “Saya minta maaf,” kata Sanchez tanpa memberitahu siapa pemain yang dimaksudkannya.
“Dia berkata kepada saya, “Saya akan melakukannya, saya akan mengeluarkan kamu. “Saya membalasnya, baiklah namun kamu akan menyebabkan kecederaan dan itu bukanlah bola sepak,” kata bekas pemain tengah Barcelona itu.
Chile akan bertemu sama ada Bolivia atau Peru pada saingan separuh akhir dalam cubaan untuk menjulang Copa America buat kali pertama dalam tempoh 99 tahun. – AFP
https://www.youtube.com/watch?v=kACvh1dBZxQ