BUENOS AIRES – Syarikat penerbangan tempatan Argentina, Austral Lineas Aereas memecat dua juruterbangnya gara-gara membenarkan seorang pelakon dan model warga Argentina berada di dalam kokpit pesawat.
Bukan itu sahaja, aktres seksi tersebut dilaporkan media tempatan turut berpeluang mengambil alih tugas menerbangkan pesawat model Embraer 190 buatan Brazil yang memuatkan 96 penumpang itu .
Ia terbongkar selepas wanita yang dikenali Vicky Xipolitakis memuat naik foto selfie dan rakaman video semasa menerbangkan pesawat itu berlepas dari Buenos Aires ke Rosario di tengah Argentina, menerusi laman Twitter.
Rakaman video itu menunjukkan model tersebut menjerit: “Saya akan membuat kelajuan dan berlepas”, sambil menekan beberapa butang di dalam kabin, seolah-olah dia berpengalaman dalam menerbangkan pesawat.
Media melaporkan, pada masa yang sama, kedua-dua juruterbang berkenaan kelihatan turut berjenaka dan bergelak ketawa bersama-sama model tempatan itu semasa berada dalam kokpit pesawat tersebut.
Aksi perbuatan bersahaja itu jelas menunjukkan juruterbang dan pembantu juruterbang telah melanggar peraturan penerbangan antarabangsa kerana membiarkan orang awam bebas masuk ke dalam kabin.
Ketua syarikat penerbangan induk AerolÃÂneas Argentinas, Mariano Recalde mengesahkan dua juruterbangnya iaitu, Patricio Zocchi Molina dan Federico MatÃÂas Soaje telah dipecat kerana tindakan mereka tersebut.
“Mereka perlu tanggungjawab kerana meletakkan puluhan nyawa penumpang dalam keadaan berisiko. Kami memecat juruterbang terbabit sebaik sahaja mendapat tahu mengenai insiden tersebut.
“Perkara ini melibatkan kepentingan awam. Maka, kami perlu bertindak tegas kerana tidak mahu keadaan seperti itu berulang lagi dan kami akan meneliti sama ada mereka dianggap melakukan jenayah atau tidak,” katanya.
Selain itu, Xipolitakis dilaporkan turut tidak terlepas begitu sahaja apabila dia juga berhadapan dengan sekatan syarikat penerbangan domestik itu. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
Video Rakaman Vicky Xipolitakis Berada Dalam Kokpit Pesawat
https://www.youtube.com/watch?v=EbRYgC88Hsk