EMPAT pelancong asing termasuk dua beradik yang dipercayai berbogel di puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lau telah ditahan reman oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata tangkapan pertama dilakukan di Lapangan Terbang Tawau, membabitkan seorang wanita berusia 24 tahun warga Britain, 12 tengah hari semalam.
“Susulan tangkapan itu, dua lelaki masing-masing berusia 23 tahun warga Kanada dan Belanda menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama seorang lagi perempuan Kanada berusia 22 tahun, pada 6 petang hari yang sama.
“Keempat-empat suspek termasuk dua beradik ini dibawa ke hadapan Majistret pagi ini untuk permohonan reman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan,” katanya.
Polis masih mengesan lagi individu yang dipercayai berbogel di Gunung Kinabalu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan.
Memetik Harian Metro, empat pelancong asing yang berkelakuan tidak senonoh itu akan direman selama empat hari bermula hari ini. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=kdOK62LN15o