SEKUMPULAN murid sekolah dari Singapura adalah antara pendaki yang terkandas di puncak gunung ketika gempa bumi menggegarkan Gunung Kinabalu awal pagi tadi.
Seramai 29 orang murid serta dua guru pengiring dari Sekolah Antarabangsa Singapura itu dikatakan mendaki Gunung Kinabalu itu semalam.
Mereka sampai di puncak gunung tersebut awal pagi tadi namun sebahagian daripada mereka berjaya turun dengan diiringi jurupandu tengah hari tadi, manakala selebihnya terkandas.
Seorang daripada anggota kumpulan itu, Miguel Tan, 12, berkata keadaan ketika itu kelam kabut, dengan semua pendaki berteriak kerana takut.
“Kami berpelukan ketika gegaran dirasai dan tidak tahu mahu buat apa. Nasib baik guru dan malim gunung (jurupandu) membantu membawa kami turun.
“Bagaimanapun, beberapa rakan kami masih terperangkap di atas dan kami harap mereka selamat,” katanya kepada Berita Harian.
– MYNEWSHUB.CC