KANGAR – Sebanyak 240 syarikat yang mencatat nilai jualan tahunan melebihi RM5 juta telah mengemukakan penyata bulanan kepada Jabatan Kastam Perlis sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan 1 April lepas.
Pengarahnya, Datuk Mohd Pudzi Man berkata, hanya tiga syarikat masih gagal mengemukakan penyata jualan daripada 1,536 syarikat yang mendaftar untuk GST.
Katanya, syarikat yang mencatat nilai jualan lebih RM5 juta setahun diwajibkan mengemukakan penyata setiap bulan dan yang kurang daripada nilai itu setiap tiga bulan.
“Secara umum 98.7 peratus syarikat yang mendaftar untuk GST telah mengemukakan penyata, iaitu yang tertinggi di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Program GST Bersama Pelanggan’ di ibu pejabat jabatan itu di sini, hari ini.
Menurut Mohd Pudzi, jabatannya memberi tumpuan untuk membantu pelanggan mengisi penyata GST dan bukan menghukum melalui tindakan mahkamah.
Katanya, tahap pemahaman pengurusan syarikat mengenai GST adalah tinggi walaupun segelintir masih keliru.
Antara sebab, katanya, orang yang mengisi penyata itu tidak menyertai kursus atau mendengar taklimat mengenai sistem cukai itu.
“Program ini khusus bagi membantu mereka cara menyimpan rekod dan mengisi penyata bagi melicinkan pengauditan,” katanya yang menambah lebih 120 program penerangan GST diadakan sehingga 31 Mac lepas.
Mohd Pudzi agak terkejut dengan kehadiran lebih 200 orang pada program itu dan beliau tidak menafikan segelintir pengurusan syarikat bersikap sambil lewa dan mendapatkan bantuan pihaknya di saat akhir apabila menghadapi masalah. – BERNAMA