KERAJAAN negeri Sabah berharap untuk membuka semula Gunung Kinabalu kepada para pendaki pada September ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi, semalam.
Bagaimanapun, bilangan pendaki ke Gunung Kinabalu akan dihadkan kepada 100 orang bagi tujuan keselamatan.
Menurut Masidi, pendaki akan mula dibenarkan mendaki gunung selepas kerja pemulihan selesai.
“Namun, kami akan mengurangkan bilangan pendaki kepada separuh berbanding sebelum ini (kira-kira 192 ke 90 setiap perjalanan) kerana keselamatan pendaki adalah menjadi keutamaan.
“Kami tidak mahu mengambil risiko dengan mengekalkan bilangan pendaki seperti sebelum ini.
“Kerja pemulihan di laluan mendaki, dengan bantuan kepakaran teknikal sedang dilakukan dan kami berharap agar ia siap menjelang awal September.
“Gempa susulan terus berlaku dan sehingga Rabu, 91 gempa susulan direkodkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi.
Gunung tersebut ditutup kepada para pelancong dan pendaki selepas gempa bumi berukuran 5.9 magnitud menggegar kawasan pergunungan itu sejak 5 Jun lalu.
Bencana itu turut mengakibatkan 18 nyawa yang berada di kawasan pergunungan terkorban.
Bagi anda yang ingin mendapat maklumat tentang perkembangan terkini mengenai kerja pemulihan Gunung Kinabalu, sila layari laman web www.sabahparks.org.my.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
Sumber: mStar Online