Tindakan PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas dalam Muktamar Tahunan PAS 2015, baru-baru ini adalah atas arahan Presidennya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Keputusan tersebut didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar, Datuk Mahfuz Omar di lobi Parlimen, semalam.
Memetik laporan akhbar Sinar Harian, Mahfuz berkata, keputusan itu dibuat Presiden parti pada hari kedua muktamar berlangsung dan dia diarahkan untuk meluluskannya.
Pemimpin PAS Sering Cakap Putar Belit – Lim Guan Eng
“Asalnya usul yang dibawa Dewan Ulama itu memang untuk dibahas.
“Tetapi, pada hari kedua muktamar, Presiden dan Mursyidul Am, Timbalan Presiden baru, Timbalan Presiden lama dan Setiausaha Agung panggil saya dan minta usul itu dijadikan usul tanpa bahas.
“Dalam mesyuarat itu, saya sebutkan implikasinya jika usul itu dibahas atau tidak dibahas. Tetapi semua mahu usul itu dilulus tanpa dibahas, jadi saya ikut arahan sahaja.”
Ujarnya lagi, walaupun usul tersebut diputuskan untuk dilulus tanpa bahas, namun Muktamar memiliki kuasa yang kuat untuk mengubahnya.
“Dalam Muktamar, ahli Majlis Syura Ulama juga sebahagian perwakilan. Jika mereka mahu usul itu dibahaskan, mereka boleh buat begitu, kerana kuasa muktamar kuat.
“Mereka boleh cadangkan kepada pengerusi tetap dan kalau majoriti bangun sokong, saya percaya usul itu boleh dibahaskan.”
Minggu lalu, Muktamar PAS mengambil keputusan untuk meluluskan usul memutuskan hubungan dengan sekutu politiknya, DAP namun mengekalkan hubungan dengan PKR dan Pakatan Rakyat.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: ALI, AHMAD & ABU
Rakaman Muktamar Tahunan PAS Ke-61, 2015
https://www.youtube.com/watch?v=VBGSD0F8yyM