KUALA LUMPUR – Bank Pembangunan Islam (IDB) wajar meluaskan peranannya daripada semata-mata menyediakan bantuan kewangan, kepada menyebarluaskan pengetahuan dan kepakaran kepada negara anggota, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Handzlah.
“Bantuan kepada negara anggota wajar dilengkapi pemindahan ilmu pengetahuan sebagai nilai tambahan,” katanya pada Mesyuarat Tahunan Lembaga Gabenor IDB ke-40 di Maputo, Mozambique.
Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini.
Husni berkata sebagai institusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), IDB berpeluang memanfaatkan pelbagai program yang dilaksanakan oleh institusi di bawah naungan OIC.
Wujud potensi luas usaha sama antara pelbagai organisasi OIC, dan IDB boleh menjadi peneraju dalam merangka inisiatif baharu yang boleh dilaksanakan secara kolektif oleh negara anggota, katanya.
Beliau mencadangkan IDB menjadi platform perancangan bagi Menteri-menteri Kewangan OIC/IDB membincangkan trend dan agenda pembangunan global.
“Ini pastinya akan mempromosikan kerjasama dan persefahaman mengenai agenda pembangunan dalam kalangan anggota IDB,” kata Husni.
IDB ialah institusi kewangan antarabangsa yang ditubuhkan untuk memperkukuh pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial dalam kalangan negara anggota dan komuniti Islam secara individu dan bersama, mengikut prinsip Syariah. – BERNAMA