PELAKON Nur Fathia Latiff berkata, dia mahu memberikan pengajaran kepada gadis-gadis di luar sana agar jangan mudah terpedaya dengan orang tidak dikenali lebih-lebih lagi yang dikenali menerusi laman sosial.
Menerusi filem terbaharu lakonannya Darah Panas, Fathia membawa watak sebagai seorang gadis naif yang berasal dari kampung dan bercita-cita mahu menjadi model di ibu kota.
Terpedaya dengan rakan yang dikenali menerusi Facebook, watak Shahana lakonan aktres cantik ini tergamak melarikan diri dari kampung demi mengejar cita-cita tanpa mengetahui dirinya bakal dilacurkan oleh sindiket di Kuala Lumpur.
“Fathia ambil cerita ini sebab nak bagi pengajaran kepada remaja-remaja kat luar sana tu. Fathia sendiri risau remaja-remaja sekarang macam cepat terpedaya dengan orang tidak dikenali lebih-lebih menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram.
“Jadi Fathia cuba beri kesedaran, nak mereka tengok sendiri macam mana kita boleh tertipu dengan orang luar.
“Fathia buat ni untuk generasi sekarang dan akan datang supaya mereka (gadis-gadis muda) pandai jaga diri dan tidak mudah terpedaya,” katanya ketika ditemui Mynewshub semasa majlis tayangan perdana Darah Panas di TGV One Utama, Damansara, semalam.
Dalam pada itu, Fathia melahirkan perasaan terkilannya dengan satu penulisan yang mengatakan dia sanggup berbogel dalam satu babak filem tersebut.
“Sebenarnya tiada babak bogel pun, itu semua gosip. Anda tengok sendiri, memang tak ada babak bogel tu sebenarnya.
“Fathia ada juga rasa terkesan sebab penulisan yang tak betul itu tapi tak mengapalah, Fathia dah jelaskan kat Instagram mengenai hal ini,” katanya.
Seperti biasa, Fathia tidak dapat lari daripada diajukan pertanyaan mengenai bila dia bakal menamatkan zaman bujang dengan kekasih, Aiman Hakim Ridza.
“InsyaAllah kalau ada jodoh dalam masa terdekat (kami berkahwin). Semua Fathia serahkan pada Allah,” katanya.
Darah Panas lakonan Fathia, Sharnaaz Ahmad, Sofi Jikan dan Adam Corrie Abdullah bakal menemui penonton di pawagam bermula Khamis ini.
Diarahkan Arjin Uppal, ia memaparkan kisah seorang gadis kampung, Shahana yang terperdaya dengan janji-janji manis seorang lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial, Ah Loy (Sofi Jikan) sehingga menyebabkannya terjebak ke kancah pelacuran.
Pelbagai rintangan dan cabaran timbul selepas Adi (Sharnaaz Ahmad) muncul menyelamatkan Shahana, sehingga menimbulkan kemarahan ketua gangster, Cicak lakonan Adam Corrie.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHARÂÂÂ
Foto/Video:  RIZA RAZAKÂÂÂ
https://www.youtube.com/watch?v=sU3HpPqJADc&feature=youtu.be
DARAH PANAS OFFICIAL TRAILER – DI PAWAGAM 4 JUN 2015