NOMBOR plat khas PATRIOT 1 yang dilelong secara terbuka menarik perhatian ramai apabila menjadi set nombor pendaftaran paling mahal di Malaysia setakat ini selepas bidaan dibuka dengan harga pembukaan RM1,000,000.
BACA: PATRIOT 1 Nombor Plat Termahal Di Malaysia, RM 1.3 Juta
Bagaimanapun timbul pelbagai spekulasi apabila lelongan nombor plat bernilai tinggi itu dilaksanakan oleh sebuah badan NGO, Yayasan Patriot Negara (YPN) Malaysia dan bukan kerajaan.
Isu menjadi lebih sensasi apabila sebuah portal media mula mempersoalkan sama ada amalan kronisme terlibat dalam urusan berkenaan.
Pengerusi YPN Brigadier Jeneral Dato’ Husainay Hashim yang ditemui Mynewshub di Kuala Lumpur sebentar tadi, bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Jelasnya, nombor pendaftaran PATRIOT yang diberikan kepada yayasan tersebut bukanlah secara percuma.
“Kami membuat permohonan untuk memiliki nombor pendaftaran itu semenjak tahun 2013 lagi dan baru diluluskan atas nama yayasan dan bukan nama syarikat.
“Yayasan turut membayar harga premium sejumlah RM1,000,000 kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendapatkan nombor istimewa itu. Jadi jangan ada tanggapan kami dapat percuma,” katanya.
Tambahnya, asas pemberian nombor plat ini adalah selaras dengan matlamat yayasan yang ingin memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Difahamkan, keuntungan penjualan nombor plat ini akan disalurkan ke dalam dana YPN bagi melaksanakan aktiviti dan program yang telah dirancang.
Dalam pada itu, YPN akui turut menyasarkan keuntungan antara 10 juta hingga 15 juta daripada jualan nombor plat istimewa ini.
Bidaan tertinggi setakat ini ialah bagi nombor plat PATRIOT 1 yang telah mencecah harga RM1,308,000 daripada pembida yang tidak ingin dikenali di selatan tanah air.
Mengikut rekod, nombor plat paling mahal di Malaysia setakat ini adalah WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail yang dibeli pada harga RM520,000 pada 2012 serta W1N berharga RM748,000; juga milik baginda.
Selain nombor plat PATRIOT, kerajaan pernah mengeluarkan 26 siri nombor khas antaranya SUKOM, PUTRAJAYA dan 1M4U. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=W-vfmTSAaaw