KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa terdapat sebuah kilang beras di Kedah menghasilkan beras palsu tidak berasas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah melakukan pemantuan ke atas dakwaan tersebut.
“Dengan penjelasan ini, orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan makanan di pasaran adalah selamat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Noor Hisham dalam pada itu menjelaskan, pengimportan beras dari China terlalu kecil iaitu kurang 0.01 peratus berbanding jumlah import keseluruhan beras 800,000 tan metrik setahun.
Malah, katanya, beras dari China itu diimport ke negar aini berdasarkan permintaan untuk kegunaan di restoran makanan Jepun dan Korea di Malaysia.
Justeru, katanya, dakwaan kononnya terdapat beras palsu dari China di pasaran negara juga tidak berasas.
“Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan di pasaran, pengguna boleh membuat aduan kepada Kementerian Kesihata,” katanya.
Aduan boleh dibuat kepada Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq. – Mynewshub.cc