KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), bekerja di negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib berkata perkara itu dikhuatiri akan menyebabkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR menjadi tidak terkawal.
“Kalau kita beri pertimbangan akan berlaku manipulasi pelarian UNHCR dengan kemasukan lebih ramai pelarian yang masih menunggu di sempadan. Kalau diberi hak bekerja, mereka akan mula menuntut hak lain termasuk pendidikan, perubatan, keluarga pada masa akan datang.
“Kita faham dan kita simpati dengan nasib menimpa pelarian, sebagai manusia tanggungjawab kita membantu tapi bukan dengan memberi pekerjaan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Yoo Wei How mengenai langkah untuk membenarkan majikan tempatan menggaji pelarian Rohingya yang mempunyai status UNHCR.
Beliau berkata berdasarkan Akta Imigresen 1959/63 juga, majikan tidak dibenarkan menggaji pekerja asing tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Ismail berkata walaupun Akta Kerja 1955 melindungi semua pekerja namun secara prinsipnya pekerja yang berhasrat mendapatkan remedi di bawah Akta tersebut hendaklah digajikan dengan sah.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata melalui proses pemutihan Program Penyelesaian menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P), kerajaan berjaya mendaftarkan 1,303,126 PATI.
Katanya daripada jumlah itu 503,161 orang telah diputihkan untuk memenuhi keperluan industri di sektor ekonomi tanpa perlu membawa masuk pekerja asing.
Beliau berkata melalui program 6P juga kerajaan berjaya mengutip hasil levi sebanyak RM629,065,191 bagi tahun pertama berdasarkan tempoh penggajian yang dibenarkan di bawah program tersebut.
Wan Junaidi menjawab soalan Senator Chong Sin Woon yang ingin tahu jumlah hasil yang dicapai kerajaan dalam program pemutihan 6P.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Adam Abdul Hamid yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menambah baik peruntukan sedia ada dengan menambah hukuman penjara dan sebatan bagi PATI, beliau berkata perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu.
“Kita sedang kaji perkara ini tetapi jika ditambah hukuman sebatan kita juga perlu lihat sedalam-dalamnya kerana ia melibatkan imej negara di peringkat global,” katanya. – BERNAMA