KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen memberi jaminan akan mengambil tindakan dan mengenakan hukuman serius ke atas empat pegawai jabatan itu yang berhadapan tuduhan rasuah di Ipoh, Perak.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai yang melakukan pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan tersebut.
Beliau bagaimanapun tetap mempertahankan pegawai Jabatan Imigresen yang lain sentiasa menjalankan tugas dengan penuh komited.
“Penahanan empat pegawai di depot langkap tidak menjejaskan operasi Jabatan Imigresen dalam melaksanakan tugas-tugas harian dan menyampaikan perkhidmatan Jabatan Imigresen yang lain kerana mempunyai pegawai-pegawai yang komited dan sentiasa memberi komitmen semasa bertugas,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Media baru-baru ini melaporkan empat pegawai Jabatan Imigresen direman tujuh hari kerana dipercayai menerima RM12,000 dipercayai rasuah daripada tahanan UNHCR warga Myanmar. Perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.
Mustafa berkata, Jabatan Imigresen sentiasa telus dan memberikan kerjasama penuh dalam melaksanakan siasatan hingga ke akar umbi untuk memastikan segelintir kecil pegawai yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan supaya mereka tidak terus menerus mencemarkan nama baik jabatan tersebut.
Malah, katanya, dari Januari hingga 31 Mei lalu, sebanyak 37 pegawai Jabatan Imigresen yang didapati melakukan kesalahan pelanggaran integriti telah dikenakan telah tindakan tatatertib. – mynewshub.cc