BIANCO Mimosa; gabungan perkataan Itali yang bermaksud “putih” dan “semalu” adalah metafora terbaik bagi membayangkan rekaan eksklusif jenama ini.
Bianco bagai cerminan wanita Timur yang tampil manis mengenakan persalinan tidak terlalu mendedah namun pada masa sama, ianya tak menghalang wanita tampak secantik Mimosa yang dilitupi duri.
Dari sisi lain, rekaan jenama ini menampakkan stail eksklusif dan tersendiri namun selesa disarung selain mampu menerbitkan aura seksi, berani dan karisma pemakainya.
Begitulah yang diperlihatkan kepada umum sewaktu Koleksi Safari, Flora, Fauna dan Mimosa Raya 2015 dilancarkan dengan penuh gilang gemilang di Hotel The Royal Chulan, semalam.
Berkonsepkan safari, gimik yang dimainkan sebagai permulaan majlis membuat rata-rata hadirin terpukau dan kekal di tempat masing-masing hinggalah muzik dimainkan diikuti para peragawati jelita rancak membelah runway.
Majlis dihangatkan lagi dengan kemunculan Syed Muradzi Syed Shamsul Baharun atau lebih dikenali sebagai Dee (Sitkom Jangan Ketawa) selaku pengacara serta persembahan mantap penyanyi yang baru bergelar ibu, Nurul Wahab.
Hadirin jemputan pun bukan calang-calang. Selain Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku tetamu jemputan khas, ramai selebriti terkenal turut hadir menyaksikan koleksi yang dilancarkan secara gah ini termasuk Erra Fazira, Umie Aida dan Raja Azmi.
Merujuk kepada fesyen yang dipersembahkan secara eksklusif semalam, ternyata pengasas yang juga pereka Bianco Mimosa, Dato’ Ida Suraya Mustapha telah mempamerkan kelainan helaian jenamanya berbanding kebanyakan rekaan lain di pasaran tempatan hari ini.
BERKAITAN: Salute! Bos Syarikat ‘Engineering’ Buka Butik, Reka Sendiri Fesyen
Wanita “besi” peminat cheetah yang terjun dari lapangan kasar kejuruteraan kepada seni halus fesyen ini, nyata tidak dapat lari daripada mengadaptasi elemen hidupnya ke dalam rekaan.
Justeru rekaan Bianco Mimosa sentiasa bermain dengan perincian yang memberi nilai tambah pada pakaian seperti zip di balik susunan manik, kaki skirt labuh yang mengembang indah apabila si pemakai melangkah, cebisan fabrik kulit di atas belahan jubah bagi memberi elemen ranggi dan bermacam lagi.
Berikut sebahagian koleksi yang diperagakan semalam.
Seorang fashion passionate yang menjadikan pentas peragaan seluruh dunia sebagai terapi minda, Dato’ Ida berkongsi impiannya mahu membawa elemen antarabangsa ke dalam busana berciri Timur tanpa galau andai ianya melanggar trend semasa di pasaran tempatan.
“Arus fesyen di negara ini agak statik kerana Malaysia bukan negara empat musim sebagaimana Eropah misalnya, lantas fesyen bertukar pada setiap tiga atau empat bulan.
“Kita juga belum mempunyai kepakaran untuk menghasilkan fabrik sendiri.
“Namun saya percaya muda mudi Malaysia kini kian terbuka soal gaya sekaligus bakal merubah atmosfera fesyen tempatan,” ujar Dato’ Ida ketika ditemui Mynewshub di butiknya sebelum ini.
Paling penting, beliau sama sekali tidak berkompromi soal kualiti fabrik, jahitan dan perincian menggunakan kerja tangan (hand made) pada setiap busana Bianco Mimosa sekaligus menjanjikan keselesaan apabila ianya disarung.
Pelancaran malam tadi menyaksikan koleksi raya aneka warna diperagakan di pentas catwalk, selain pelancaran rasmi laman web Bianco Mimosa kepada para pelanggan yang ingin mendapatkan koleksi jenama ini.
Jelas, rata-rata yang hadir bagai dipukau menyaksikan Koleksi Safari, Flora, Fauna dan Mimosa Raya 2015 ini.
Bagi anda yang ingin mendapatkan jenama eksklusif namun mampu milik ini bagi menyerikan lagi penampilan pada lebaran tahun ini, layari laman web www.biancomimosa.com atau kunjungi laman sosial Instagram biancomimosaofficial atau Facebook www.facebook.com/bianco.mimosa.
Bagaimanapun istimewa bagi mereka yang berkunjung sendiri ke butik Bianco Mimosa yang terletak di No 48-G, Jalan Nautika, B U20/B, Pusat Komersial TSB, 40160 Sungai Buloh, Selangor diskaun sebanyak 20% akan diberikan. Wow, banyak tu!
Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan di talian 03- 61450029. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=6Iq1hsnZpCM&feature=youtu.be
https://www.youtube.com/watch?v=U6bSKs2QLSI
Oleh: Rem Ramzi
Foto/Video: Riza Razak