MARI berkenalan dengan Matilda, seekor kucing comel dengan mata serupa ‘alien’ atau makhluk asing. Matilda kini menjadi idola baru menerusi Internet.
Kucing dengan mata yang besar itu mempunyai kira-kira 30,000 pengikut atau followers di laman Instagram.
Portal berita The Huffington Post melaporkan, Matilda mempunyai keadaan mata yang tidak normal. Anak matanya melebar sehingga mencapai saiz yang tidak normal dengan cara badannya membesar.
Pada mulanya, hanya satu bola mata Matilda yang menunjukkan kelainan. Namun ketika berusia dua tahun, kedua-dua matanya hampir buta. Matanya hanya memberi reaksi kepada cahaya dan pergerakan mudah.
Menurut pemilik Matilda, Meghan, keadaan kucingnya itu turut membingungkan beberapa doktor haiwan. Selain itu, Matilda juga mengalami glaukoma yang memburukkan lagi penglihatannya.
“Kami masih tidak pasti kenapa matanya boleh membesar,” kata Meghan. Struktur kolagen Matilda disyaki mencetuskan keadaan tidak normal dalam matanya.
Walaupun matanya bermasalah, Matilda tetap ceria. Bahkan gerak-gerinya tidak kelihatan seperti seekor kucing yang hampir buta. Dan nampaknya kelucuan Matilda berjaya mengundang simpati dari orang ramai yang menyumbang kepada dana rawatannya.
Sejak bersinar menerusi Instagram dan laman peribadi yang dibuat oleh Meghan, Matilda sudah menjalani siri prosedur perubatan yang diperlukan. Namun demikian Matilda masih perlu menjalani beberapa prosedur lanjutan.
– Agensi/Mynewshub/HAA